Thursday, February 3, 2011

MEMAAFKAN AGAR DIMAAFKAN


Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera.

Kita manusia dikurniakan hati.Dan kita juga hidup tidak seorang.Ada orang lain di sekeliling kita.
Apabila kita hidup bermasyarakat,tidak dinafikan,pasti akan ada hati yang terluka dengan perbuatan pihak yang lain.Itu adalah normal.Dan adalah normal untuk kita marah atau terasa dengan perbuatan orang lain.

Tetapi,kita sebagai umat Islam,tidak boleh terasa/tersinggung dengan orang lain terlalu lama.Atau dalam kata lain,kita tidak boleh menyimpan dendam.

Kenapa kita tidak boleh berbuat demikian?

Ini kerana Allah SWT itu Maha Pengampun.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [39:53]

Jika Allah SWT yang Maha Berkuasa sendiri sedia mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang telah berdosa yang menyedari kesilapan mereka,tanpa mengira kecil atau besar kesilapan mereka,kenapakah pula kita hamba biasa yang hina ini tidak boleh membuka hati memaafkan kesilapan orang lain?

Ya,memanglah payah untuk kita memaafkan kesilapan orang lain.Ada sesetengah dari kita ini hatinya kecil.Tapi,janganlah sampai berbulan-bulan hingga ada yang bertahun-tahun berdendam.

Sesungguhnya memaafkan itu lebih baik dari berdendam.

Anas Radiyallahuan mengkhabarkan, bahawa pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Bahawa Allah berfirman maksudnya;

"Hai Bani Adam, selama engkau berdoa dan berharap terhadap-Ku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daripada kamu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."

"Hai Bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan bagimu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."

"Hai Bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun nescaya aku isi semua itu dengan pengampunan."

Di sini dapat kita lihat,betapa Allah SWT itu Maha Pengampun.

“Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar- besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.”

“Aduh, kecilnya kesalahan manusia dengan manusia berbanding dosa antara manusia dengan yang Maha Esa. APAKAH ALASAN KITA UNTUK TIDAK MEMAAFKANNYA?? “

“Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepada-Nya, zat yang Maha Mulia.”

“Maafkan dosa sesama kita, insan yang hina ini, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilan-Nya nanti. Allah Maha Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. MAAFKANLAH AGAR DIMAAFKAN.”

Rasulullah SAW juga menuntut kita bermaaf-maafan.

“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim].

“Yang bernama hebat bukanlah orang yang banyak menjatuhkan lawannya,tetapi orang yang handal dan sejati adalah orang yang sanggup menguasai dirinya ketika marah” [Hadis Riwayat Muslim]

dan pelbagai lagi hadis yang menunjukkan sikap berdendam dan memutuskan silaturahim itu adalah dilarang dalam Islam.

Kesimpulannya,jika kita mengharapkan Allah SWT memaafkan kesalahan kita yang besar,bagaimana kita tidak boleh memaafkan kesalahan orang lain?

Ya,mungkin kesalahan orang lain itu terlalu besar bagi kita untuk dimaafkan,tetapi cuba jangan berdendam.Cuba kita belajar memaafkan.Anda akan merasa kesannya kepada jiwa anda selepas anda mula memaafkan mereka.

Dan adalah lebih mulia bagi kita jika kita mendoakan semoga Allah mengubah hatinya menjadi orang yang lebih sempurna peribadi/akal.

Semoga kita semua mendapat rahmat Allah SWT dan dikekalkan petunjuk dan hidayah Allah SWT kepada diri kita.

http://baikiminda.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...